Titian Cinta – Bab 23 – 24 | Preview Versi Novel

KREDIT SEPENUHNYA KEPADA PENULIS ASAL NOVEL–> Ridhya Iman
KALAU KORANG NAK TEMPAH NOVEL TITIAN CINTA, BOLEH TERUS PM BELIAU–> Ridhya Iman

“Syarat yang kedua, abang nak tahu dari A sampai Z apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa Sofia datang ke rumah sewa sayang?” Beritahu Harris.

‘Aisy bungkam dengan syarat kedua yang dikenakan suaminya itu. Tiba-tiba lidahnya kelu. Apakah bentuk jawapan yang harus diberikan kepada Harris?

“Sayang, abang tak nak ada rahsia di antara kita berdua.” Beritahu Harris lembut apabila mulut isterinya seakan terkunci. ‘Aisy mengeluh lemah.

“Perkara dah berlaku. Rasanya tak perlulah diungkit lagi.” Tolak ‘Aisy.

“I know. Tapi sebagai suami, abang ada hak untuk tahu.” Desakan Harris sekali lagi mengundang keluhan di bibir ‘Aisy. Perlukah dia menceritakan segala-galanya? Di sebalik serangan Sofia, ada perkara lain yang cuba disembunyikan. Jauh di sudut hati dia bimbang jika perkara itu bakal mengundang kemarahan Harris yang tidak bertepi. Dia tahu apabila Harris marah, lelaki itu mampu melakukan apa saja termasuklah menggunakan pengaruhnya untuk membalas dendam!

 

***

 

Ketukan bertalu-talu di pintu rumah sewanya mengejutkan ‘Aisy yang sedang leka menandakan manuskrip jawapan ujian pelajarnya. Sayup-sayup kedengaran suara seorang perempuan memberi salam diselangi dengan esak tangis. Segera dia mencapai tudung Pashmina dan diselempangkan. Langkahnya diatur ke muka pintu.

“Sofia!”

Buntang mata ‘Aisy disapa dengan kelibat Sofia yang sedang berdiri lemah dengan wajah yang suram. Penampilan Sofia yang bertudung litup menjadikan Sofia kelihatan semakin cantik, sopan dan ayu. Ternyata tempoh masa empat tahun benar-benar telah merubah penampilan wanita lampai ini.

Air mata yang sedang berjuraian lebat di pipi mulus Sofia mengundang tanda tanya di hati ‘Aisy. Dia kaget dan pada masa yang sama dia turut merasa keliru. Setelah lebih empat tahun persahabatannya dengan Sofia terputus, untuk apa wanita itu tiba-tiba muncul kembali di hadapannya? Sudah lupa kah Sofia pada ikrarnya untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengannya?

“Tolong aku ‘Aisy. Aku.. aku…” Kata-kata Sofia terhenti dan berganti dengan esakan hiba.

Jiwa lembut ‘Aisy sedikit tersentuh. Dia merenung tubuh Sofia dari atas ke bawah, dan pandangannya terhenti pada beg pakaian yang sedang dibimbit Sofia. Jelas sesuatu telah menimpa wanita yang pernah bergelar sahabat baiknya itu.

“Apa yang dah jadi ni, Sofia?” Soal ‘Aisy. Terbit rasa belas di hatinya.

Pintu gril dibuka dan Sofia yang sedang terenjut-enjut menahan tangis dihampiri. Walaupun terlalu banyak kenangan pahit yang telah dilakarkan Sofia di dalam hidupnya, namun dia tidak dapat menafikan rasa sayang yang masih tersisa pada sebuah persahabatan yang pernah terjalin antara mereka. Kesedihan yang terpamer di wajah Sofia sedikit demi sedikit membunuh rasa terkilan yang terbuku di hati selama ini.

“Aku..aku..aku kotor, ‘Aisy.” Sebak bicara yang meniti di bibir pucat Sofia. Dia memeluk tubuh ‘Aisy yang masih terkaku. Mencari sandaran mungkin untuknya melepaskan rasa hiba yang bersarang di hati.

“Err..aku rasa lebih baik kita cakap kat dalam. Mari…” Pelawa ‘Aisy. Pelukan dileraikan. Dengan rasa simpati dia memimpin tangan Sofia, membawa wanita itu masuk ke dalam rumah dan didudukkan di atas sofa.

Sofia menekurkan wajahnya ke lantai. Kebaikan ‘Aisy menambahkan kekesalan di hatinya.
“Kau bertenang dulu. Aku ke dapur sekejap ambilkan kau air.” Tutur ‘Aisy menenangkan sebelum dia tergesa-gesa menapak ke ruang dapur.

Beberapa minit kemudian, ‘Aisy kembali dengan secawan air suam di tangan. Mengharapkan ia dapat memberikan sedikit kelegaan buat Sofia. Sempat dia membacakan doa penenang hati yang dihafalnya. Itulah amalan yang sering dilakukan ibunya setiap kali dia ditimpa sesuatu musibah.

“Minum air ini dulu. Jangan lupa baca selawat.” Pesanan dititipkan sambil menghulurkan gelas kepada Sofia. Terketar-ketar tangan Sofia menyambut lalu disisipkan gelas tersebut ke mulut.

‘Aisy melabuhkan duduk di atas sofa berhadapan dengan Sofia. Beberapa waktu berlalu hanya dibiarkan sepi. Sesekali kedengaran sedu sedan yang dilagukan Sofia.. Hanya pandangan matanya yang seakan berbicara, merenung Sofia yang sedang bermuram durja. Sabar menunggu wanita itu menjelaskan duduk perkara sebenar. Belum pernah dia menyaksikan Sofia dalam keadaan begitu. Pasti dugaan hebat yang sedang menguji wanita ini.

“Aku…aku minta maaf, ‘Aisy. Aku dah tak tahu nak minta tolong pada siapa. Semua orang dah buang aku, ‘Aisy..” Rintih Sofia dalam tangis.

“Mummy dan daddy dah halau aku dari rumah. Mereka tak nak mengaku aku anak mereka lagi. Jefferi pun dah putuskan hubungan dengan aku.” Sambung Sofia dengan esakan yang semakin meninggi.

“Jefferi?” Soal ‘Aisy dengan kerutan di dahi tatkala mendengarkan suatu nama yang cukup asing di telinganya. Terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya. Sebolehnya dia tidak mahu membuat telahan terlalu awal.

“Jefferi…dia teman lelaki aku. Aku benar-benar cintakan dia, ‘Aisy. Segala-galanya aku korbankan demi kasih sayang aku pada dia. Tapi, akhirnya aku ditinggalkan.” Luah Sofia masih lagi dalam sendu yang tidak bertepi.

“Sabarlah, Sofia. Mungkin dia bukan jodoh kau.” Pujuk ‘Aisy kekok. Terasa janggal sekali untuk menenangkan Sofia. Kemesraan yang pernah terjalin antara mereka berdua ternyata telah lama hilang. Jika dulu dia tidak pernah jemu menjadi tempat Sofia melepaskan perasaan setiap kali wanita itu mengalami kegagalan dalam percintaan. Dengan rela hati dia menadah telinga mendengar setiap hamburan amarah Sofia.

“Dia jodoh aku, ‘Aisy. Dia perlu bertanggungjawab pada aku. Aku terlalu sayangkan dia. Hidup aku mati tanpa dia, ‘Aisy. Hati aku kering tanpa cinta Jefferi!” Lirih bait-bait ayat yang meniti di bibir Sofia menggambarkan kepedihannya.

“Kau kena kuat, Sofia. Kau takkan mati tanpa cinta seorang lelaki. Kerana dalam detik setiap nafas yang kita sedut dan hembus ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang ALLAH.” Ujar ‘Aisy menitipkan semangat. Dia juga dulu seperti Sofia. Pernah parah terluka kerana mengejar cinta seorang suami. Namun kerana luka lama itulah yang banyak mengajarnya tentang cinta. Merubah definisi dan persepsinya terhadap cinta. Baginya cinta pada lelaki hanya akan meninggalkan kesan luka yang mendalam di hati. Lalu untuk apa perlu ditagih cinta pada yang tidak sudi?

“Aku tak kuat, ‘Aisy. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa salah aku? Segala kemahuan dia aku turutkan. Semuanya aku serahkan..sehinggakan aku…aku sanggup serahkan diri aku pada dia. Sekali lagi aku menjadi bodoh kerana cinta!” Esakan Sofia semakin menggila.

Pengakuan Sofia membuatkan ‘Aisy terpempan. Dia beristighfar di dalam hati. Kenapa begitu mudah Sofia dibutakan kerana cinta? Kenapa sanggup membiarkan maruah diri sekali lagi menjadi korban pada sebuah cinta yang belum pasti? Kenapa tergamak menjadi bunga yang telah layu dihisap madunya oleh kumbang yang tidak berhak?

“Tenang, Sofia. Jangan ikutkan sangat perasaan sedih itu. Mungkin ada hikmah atas apa yang terjadi ni.” Hanya kata-kata tu yang mampu diungkapkan ‘Aisy. Tumpah rasa simpati yang menggunung buat Sofia. Dia bangkit menghampiri Sofia dan duduk di sisi wanita itu.

‘Aisy tidak menyangka begini liku-liku cinta yang terpaksa ditempuh Sofia. Wanita cantik ini mempunyai terlalu banyak pilihan dalam bercinta. Tetapi kenapa akhirnya dia memilih untuk kecundang di tangan lelaki yang tidak bertanggungjawab?

“Macam mana aku nak tenang, ‘Aisy. Sedangkan dalam rahim aku ini ada tanda cinta kami yang semakin membesar.” Suara Sofia perlahan dan sayu.

“Kau mengandung? Anak Jefferi?” Soal ‘Aisy tergamam. Anggukan Sofia membuatkan ‘Aisy mengeluh lemah. Matanya jatuh pada perut Sofia yang masih kempis. Belum jelas kelihatan. Mungkin kandungannya masih muda.

“Dah lima minggu. Bila Jefferi tahu aku mengandungkan anak dia, dia terus tinggalkan aku. Disebabkan ini juga mummy dan daddy buang aku. Mereka malu sebab aku telah memalitkan arang ke muka mereka.” Terang Sofia membuatkan ‘Aisy terkedu. Kenapa perlu buru-buru mengikut nafsu menjalinkan hubungan haram tanpa lafaz ijab dan kabul?

“Apa patut aku buat, ‘Aisy? Aku dah tak ada siapa-siapa lagi. Aku bukan saja dihalau keluar dari rumah tapi daddy aku dah buang aku dari syarikat. Semua kad kredit, wang simpanan aku dibekukan. Aku dah tak ada apa-apa lagi ‘Aisy.”

‘Aisy merenung sayu ke arah Sofia. Dia masih bungkam memikirkan cara untuk membantu Sofia. Rasa kemanusiaan di dalam dirinya membuatkan dia merasa bertanggungjawab untuk melindungi Sofia apatah lagi di dalam rahim wanita itu ada satu nyawa yang tidak berdosa. Dia tidak mahu Sofia hilang pertimbangan dan mengapa-apakan kandungannya.

“Kau tak perlu risau. Kau tinggal saja kat sini buat sementara waktu. Selepas ini, kita usaha pujuk Jefferi untuk menikahi kau.” Putus ‘Aisy. Tangan Sofia digenggam erat, cuba menyalurkan sedikit kekuatan buat wanita itu.

“Aku..aku tak menyusahkan kau ke, ‘Aisy?” Soal Sofia dalam riak yang serba salah.

“Tak susah pun. Kau kawan aku. That’s what friends are for, right?” Jawab ‘Aisy sambil menggosok-gosok belakang tangan Sofia. Memberikan keyakinan buat wanita itu.

“Tapi..kawan-kawan serumah kau macam mana?”

“Kau jangan bimbang. Sakeena dan Hafeeza mesti faham keadaan kau. Lagipun rumah ini ada satu lagi bilik kosong dekat tingkat atas. Tapi, bilik itu tak adalah selesa dan besar macam bilik kau.” Ujar ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman nipis. Terpancar riak kelegaan di wajah Sofia.

“’Aisy, terima kasih. Walaupun macam-macam aku dah buat pada kau dulu, kau masih sudi nak membantu aku. Aku malu dengan kau, ‘Aisy.” Beritahu Sofia serba salah. Wajah itu kembali berubah suram tiba-tiba.

Sebagai manusia biasa, memang hati ‘Aisy masih berbirat luka dengan tuduhan dan fitnah yang pernah ditaburkan Sofia terhadapnya dulu. Namun, kesukaran yang sedang dilalui Sofia tidak membenarkan dirinya untuk terus melayani kesakitan kisah silam.

“Kau tak perlu fikir fasal perkara yang dah lepas. Let bygone be bygone, okay?” Kata-kata ‘Aisy membuatkan mata Sofia berkaca. Pipi yang baru sahaja kering, kini dibasahi lagi dengan air mata.

“Maafkan aku, ‘Aisy. Walaupun aku tahu kesilapan aku pada kau terlalu besar tapi tolong maafkan aku.” Pinta Sofia. Anggukan di kepala ‘Aisy membuatkan Sofia memeluknya dengan penuh rasa terharu.

“Terima kasih, ‘Aisy.”

‘Aisy tersentuh. Dia membalas pelukan Sofia. Kemaafan memang dendam yang terindah. Aku bersyukur pada-Mu sekiranya sedikit kebaikan yang aku hulurkan mampu menyulam kembali hubungan persahabatan kami yang terputus sejak sekian lama. Monolog ‘Aisy di dalam hati.

“Mari aku bawa kau ke bilik. Kau mesti dah penat kan? Ibu mengandung kena banyak berehat.” Pelawa ‘Aisy meleraikan pelukan. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Sofia dan dibalas oleh wanita itu. Pantas, beg pakaian Sofia dijinjing. Tanpa sebarang rasa curiga dia melangkah menaiki tangga, sedikit ke depan mendahului Sofia.

Tiba-tiba, senyuman manis yang terukir di wajah Sofia bertukar menjadi sinis. Sorotan matanya berubah tajam memandang belakang tubuh ‘Aisy dengan penuh kebencian dan dendam. Tiada lagi riak polos dan suram yang terbias di wajahnya. Watak Sofia yang teraniaya hanyalah sebahagian daripada plot lakonan yang dirancang untuk memperdayakan ‘Aisy. Perancangannya setakat ini berjalan lancar.

Kau memang bodoh, ‘Aisy! Nampaknya hidup bertahun-tahun di luar negara masih tak mampu mengubah kenaifan kau. Jangan harap aku akan benarkan kau hidup bahagia bersama Harris! Kata hatinya mengutuk dengan angkuh.

Dendam yang dipendam sejak empat tahun lalu perlu dilunaskan. Dia sudah tidak mampu menyimpan rasa sakit di hatinya dengan lebih lama. Perhitungan perlu dilakukan demi untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Pengkhianatan perlu dibalas dengan pengkhianatan!

***

Sakeena kurang senang dengan kehadiran Sofia yang menumpang tinggal di rumah sewa mereka buat sementara waktu. Bukanlah bermakna dia tidak bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita itu. Tetapi entah kenapa, nalurinya bagaikan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi bila mengenangkan pengkhianatan yang pernah dilakukan Sofia kepada ‘Aisy.

“Betul ke Sofia tu mengandung?” Bisik Sakeena perlahan, bimbang jika soalannya itu didengari Sofia. Matanya memandang kiri kanan, cukup berwaspada. Padahal pada waktu itu hanya dia sahaja yang berada di dalam kamar tidur ‘Aisy.

“Kau dengar tak apa aku tanya?” Sakeena kembali menyoal apabila tiada jawapan daripada ‘Aisy. Sahabatnya yang sedang menyandar di birai katil direnung. Dia cuba mendapatkan perhatian ‘Aisy yang sedari tadi begitu khusyuk memerhatikan skrin telefon bimbitnya.

“Kenapa kau tanya aku macam tu?” Persoalan Sakeena tidak segera dijawab. Sebaliknya dibalas dengan pertanyaan yang acuh tidak acuh. Tumpuannya masih pada paparan mesej pesanan ringkas daripada Harris. Sekarang, suaminya berada di United States atas urusan perniagaan. Setiap hari Harris tidak pernah gagal memberitahu aktivitinya di sana biarpun dia tidak pernah membalas setiap mesej yang diterima. Jauh sekali untuk mengangkat panggilan telefon daripada Harris.

“Hati aku tak sedaplah, ‘Aisy. Aku rasa macam ada sesuatu yang pelik lah.” Luah Sakeena tanpa berselindung.

Wajah teman baiknya itu direnung, menantikan sebuah penjelasan. Telefon bimbit diletakkan di atas meja kecil di sisi katil. “Apa yang peliknya?”

“Tak adalah, semalam kau cakap Sofia datang meratap-ratap sedih dengan kau. Macam orang hilang anak. Tapi yang peliknya, hari ini aku tengok dia happy semacam je. Macam orang yang tak ada masalah pun.” Sakeena menyampaikan kemusykilan di hatinya.

‘Aisy tertawa lucu, sedikit tercuit hati melihatkan kesungguhan Sakeena. Gaya pun dah serupa Kak Leha, jiran sebelah yang suka benar bergosip. Sakeena jugalah orang yang paling suka melayan Kak Leha itu bercerita.

“Aku tanya serius ini, kau bantai gelak pula.” Tempelak Sakeena tidak puas hati melihat gelak ‘Aisy yang semakin besar.

“Kau ini kelakar lah, Keena. Tengok gaya kau ini teringat aku dekat Kak Leha jiran sebelah. Aku rasa genetik Kak Leha dah banyak menurun dekat kau ni.” Usik ‘Aisy dalam sisa tawa membuatkan Sakeena menjelingnya. Ringan tangannya membaling bantal ke arah ‘Aisy. Cekap tangan ‘Aisy menyambut bantal dan di bawa rapat ke dada untuk dipeluk.

“Aku cakap serius, boleh pula kau perli aku.” Ujar Sakeena dengan wajah masam.

“Apa yang nak dirunsingkan. Baguslah kalau Sofia dah boleh rasa gembira. Nanti kalau dia asyik meratap hiba kita juga yang susah nak pujuk. Yang jadi mangsa anak dalam kandungannya tu.” Jawab ‘Aisy akhirnya. Baginya, Sakeena terlalu berprasangka. Tetapi dia tidak boleh menyalahkan Sakeena kerana merasa curiga. Dia tahu temannya itu penuh dengan sikap melindungi. Sakeena tidak akan tegar melihat dia menjadi mangsa pengkhianatan buat kedua kali.

“Bercakap fasal anak, betul ke Sofia itu mengandung? Aku tengok tak macam gaya perempuan mengandung pun. Tengah hari tadi boleh pula dia makan nanas berkeping-keping.” Kata-kata Sakeena membuatkan ‘Aisy tersentak.

“Habis itu, kau tak larang dia ke?” Soal ‘Aisy dengan wajah risau.

“Tak.” Balas Sakeena sepatah tanpa rasa bersalah membuatkan ‘Aisy mendengus lemah.

“Kenapa tak tegur dia? Aku rasa dia tak tahu yang perempuan mengandung tak digalakkan makan nanas. Dia kan mengandung anak sulung.” Janganlah yang tidak-tidak menimpa Sakeena dan kandungannya. Dia pernah merasai keperitan akibat kehilangan zuriat yang dikandungi. Kalau boleh dia tidak mahu wanita lain melalui apa yang pernah dialaminya.

“Kau tak boleh terlalu berbaik sangka, ‘Aisy. Kau dah lupa apa yang dia pernah buat pada kau dan Harris dulu?” Tukas Sakeena. Itulah kelemahan ‘Aisy. Dia mempunyai sekeping hati yang lembut. Membuatkan hatinya mudah tersentuh dengan pujuk rayu.

“Aku tak pernah lupa, Keena. Tetapi perkara dah lepas kan. Lagipun, aku memang tak ada pilihan. Dia dalam kesusahan dan aku cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang insan. Selebihnya, kita serahkan pada ALLAH.” Tingkah ‘Aisy mematahkan tebakan negatif Sakeena.

“Lagipun, aku tengok Sofia dah banyak berubah ke arah kebaikan. Dia dah sedar kesilapannya. Jadi tak salah kita beri dia peluang kan?” Dalam diam Sakeena turut mengakui kebenaran kata-kata ‘Aisy. Dari segi penampilan memang jelas Sofia telah berubah ke arah positif. Aurat yang selama ini dibiarkan terdedah telah ditutup daripada pandangan ajnabi. Tetapi, kenapa iman masih tipis sehingga membiarkan diri bergelumang dengan dosa zina? Iman bukan boleh diukur berdasarkan labuhnya tudung seseorang.

“Tapi, ‘Aisy..”

“Dahlah. Kau ini suka sangat fikir yang bukan-bukan. Ini mesti sebab banyak sangat baca novel dan berguru dengan Kak Leha.” Gurauan ‘Aisy sekali lagi membuatkan dia dihadiahkan dengan balingan bantal oleh Sakeena.

“Kau jangan risaulah, Keena. Aku yakin Sofia memang dalam kesusahan. Yang penting sekarang ini, kita kena fikirkan macam mana nak pujuk mak ayah dan kekasih dia untuk menerima dia kembali.” Ujar ‘Aisy tenang.

Sudahnya, curiga Sakeena hilang begitu sahaja. Lagipun ‘Aisy sendiri lebih mengenali siapa Sofia berbanding dirinya.

***

Malam minggu itu, ‘Aisy tinggal berdua bersama dengan Sofia. Sakeena terpaksa pulang ke kampungnya di Kuantan untuk menyelesaikan urusan pernikahannya yang hanya berbaki tiga bulan saja lagi. Manakala, Hafeeza pula berkursus di Genting Highlands. Mujur jugalah ada Sofia, sekurang-kurangnya tidaklah dia keseorangan di rumah teres dua tingkat itu.

Setelah menyiapkan makan malam, ‘Aisy menuju ke biliknya di tingkat atas untuk membersihkan diri. Namun, langkahnya terhenti apabila melihat pintu bilik Sofia sedikit terbuka. Dia berniat untuk mengajak Sofia makan. Jika wanita itu lapar, bolehlah dia makan terlebih dahulu. Maklumlah ibu mengandung. Perut tidak boleh dibiarkan kosong. Lantas, langkah kakinya bertukar arah menuju ke kamar beradu Sofia.

“Malam ini, ‘Aisy tinggal seorang diri. Peluang baik yang kita tunggu akhirnya dah tiba.”

Dari luar bilik jelas kedengaran suara Sofia sedang bercakap dengan seseorang di dalam talian. Namanya yang meniti di bibir Sofia mengundang rasa ingin tahu di hati. Kata-kata yang dituturkan oleh Sofia menarik minat ‘Aisy untuk mengintip perbualan wanita itu.

“Kalau rancangan ini berjaya, aku pasti ‘Aisy akan jadi milik kau. Aku yakin Harris tak akan teragak-agak ceraikan dia lepas ni. Kali ini tak ada siapa pun yang akan dapat membela perempuan itu lagi walaupun Hajah Mariah!”

Suara angkuh Sofia membuatkan jantung ‘Aisy berdetak kencang. Waktu itu, dia sedar yang kecurigaan Sakeena memang benar-benar berasas. Ternyata keinsafan Sofia hanyalah lakonan semata-mata. Wanita itu selama ini hanya berpura-pura untuk mengaburi matanya.

“Tapi, kau jangan lupa janji kau pada aku kalau rancangan ini berjaya. Kalau kau mungkir, tahulah aku nak buat macam mana!” Suara Sofia berubah tegang. Dia terdiam sejenak, mungkin sedang mendengar bicara daripada pemanggil di hujung talian.

Siapakah pemanggil yang sedang bercakap dengan Sofia? Hati ‘Aisy tertanya-tanya.

“Bagus! Kau jangan bimbang. Aku tahulah apa yang patut aku buat. She will be yours tonight! Bukannya susah nak kelentong perempuan kesayangan kau tu. Dua tiga titik air mata aku pun dah boleh beli perasaan kasihan dia. She is so naïve and sometime stupid!” Ketawa sinis terhambur keluar dari mulut Sofia. Namun pantas tangannya menekup mulut, bimbang jika perbualannya didengari.

Hancur luluh hati ‘Aisy berkeping-keping tatkala mendengarkan penghinaan Sofia. Parut lama kembali bernanah. Kali ini lukanya pasti meninggalkan kesan yang lebih dalam. Tanpa sedar, tangannya dikepal kuat, menahan rasa bahang yang mula mengisi di segenap ruang hatinya.

“Relaks lah! Aku kutuk sikit pun kau dah nak melenting. Aku tak fahamlah apa yang kau pandang sangat pada perempuan itu.” Dari celah pintu yang sedikit terbuka, jelas riak kebencian terbias di wajah Sofia.

“Aku..aku tahu urusan kau bukan urusan aku. Maafkan aku!” Suara Sofia berubah kendur dan gugup.

Pelik! Kenapa berubah-rubah emosi yang ditunjukkan Sofia? Pemanggil itu seolah-olah mempunyai pengaruh yang cukup besar pada Sofia. Siapakah pemanggil? Dia cuba meneka namun otaknya langsung tidak dapat berfikir.

“Ya! Malam ini kita buat seperti yang kau rancang. Aku akan pastikan ‘Aisy tidur mati malam ini. Kau perlu ingat, bilik tidur ‘Aisy bilik kedua dari tangga.”

Terketar-ketar ‘Aisy mengetap bibir. Matanya berkaca bening. Dia dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku jika dia tidak berbuat sesuatu. Rasa takut, marah, geram dan kecewa bercampur baur.

Bodohnya dia kerana terlalu mudah mempercayai Sofia. Bodohnya dia kerana mengharapkan kebaikannya bisa merubah dan menjadikan Sofia manusia yang lebih baik. Bodohnya dia kerana masih menumpahkan air mata buat seorang manusia yang langsung tidak layak untuk dijadikan sahabat! Air matanya dikesat laju. Dia tidak ingin menangis lagi. Tidak sekali-kali dia akan menyerah kalah.

“’Aisy!” Suara terkejut Sofia mengaburkan lamunannya. Sofia berdiri tegak di ambang pintu dengan wajah yang berubah pucat.

“Tergamak kau khianati aku lagi, Sofia! Rupa-rupanya cerita simpati kau selama ini hanyalah rekaan. Kau hanya berpura-pura dengan aku!”

Jeritan ‘Aisy mengisi segenap ruang rumah. Marah yang ditunjukkan ‘Aisy membuatkan Sofia terkedu. Entah dari mana kekuatan itu meresap ke dalam tubuhnya. Mungkin rasa sakit hati yang tersimpan bertahun-tahun dan rasa kecewa yang bertimpa membuatkan dirinya menjadi berani.

“Aku…aku tak..kau dah salah faham, ‘Aisy.” Tingkah Sofia gugup. Buntu akalnya untuk mencipta helah.

“Kau tak perlu berlakon lagi, Sofia. Aku dah dengar semua perbualan kau tadi. Apa yang kau nak buat pada aku Sofia? Kejahatan apa lagi yang kau rancang untuk kenakan aku?” Tanya ‘Aisy bertubi-tubi. Wajah Sofia dipandang dengan renungan yang cukup tajam.

Tiba-tiba Sofia meledakkan tawa. Semakin kuat dan semakin sinis di pendengaran ‘Aisy. Dia memang sengaja hendak membakar perasaan ‘Aisy. Segala perancangan jahatnya telah terbongkar. Tidak guna dia berselindung di sebalik lakonannya lagi. Rancangan yang telah disusun rapi juga perlu berubah. Walau bagaimana cara sekalipun, dia perlu pastikan ‘Aisy dibenci Harris buat selama-lamanya!

“Aku nak pulangkan kau pada seseorang yang dah lama menantikan kau.” Wajah Sofia berubah sinis.

“Siapa?” Tanya ‘Aisy.

“Kau akan tahu bila tiba masanya nanti. Malam ini, aku akan pastikan kau menjadi milik dia. Milik seorang lelaki yang dah begitu lama ingin meratah tubuh kau!” Ujar Sofia dengan wajah bengis. Tubuh ‘Aisy dihampirinya.

“Kau dah gila, Sofia!” Balas ‘Aisy berani. Dia berundur setapak ke belakang.

“Ya! Memang aku dah gila. Aku gila dengan dendam aku pada kau yang masih belum terbalas. Aku takkan puas selagi aku tak buat hidup kau merana sama seperti apa yang kau dah buat pada aku dulu. Aku akan pastikan seumur hidup kau menderita, dibayangi sejarah hitam yang bakal dicipta malam ini.”

Jantung ‘Aisy berdegup kencang dengan ugutan Sofia. Wanita di hadapannya ini tidak ubah seperti seekor binatang buas yang sedang menunggu masa untuk menerkam mangsanya.

“Apa sebenarnya yang aku dah buat pada kau, Sofia? Kau masih tak sedar apa yang dah berlaku selama ni berpunca daripada keegoan kau sendiri? Kau yang buat pilihan yang salah. Pilihan yang akhirnya memakan diri kau sendiri. Dan sekarang kau nak salahkan aku atas apa yang dah berlaku? Kau ini tak ubah seperti buruk muka, cermin disalahkan.”

Sindiran ‘Aisy menghangatkan lagi kemarahan Sofia. Dia semakin mampir ke arah ‘Aisy dengan wajah yang bengis

“Kau pula bijak mengambil kesempatan atas kesilapan aku kan?” Rengus Sofia tidak mahu mengaku kalah. Sinar matanya penuh dengan kebencian.

“Kau atau aku yang mengambil kesempatan, Sofia? Kau sebenarnya seorang perempuan yang terlalu bangga dan angkuh dengan diri kau sendiri. Kerana keangkuhan, kau tak pernah merasa cukup dengan apa yang kau ada. Kerana ego, kau tak dapat terima hakikat yang orang lain juga layak bahagia. Sehingga kau sanggup rampas dan musnahkan kebahagiaan aku, kawan baik kau sendiri. Kau memang perempuan tamak, Sofia. Kau tamak harta, kedudukan, perhatian dan kasih sayang sehinggakan kau sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan hati kau!” Hambur ‘Aisy semakin mundur ke belakang sehingga kakinya jatuh pada birai anak tangga pertama..

Sofia semakin berang. Patah demi patah kebenaran yang diungkapkan ‘Aisy bagai belati tajam yang mencucuk tangkai hatinya. Dia benci untuk mengakui kebenaran itu.

“Tapi itu tak berikan kau hak untuk rampas tunang aku!” Tengking Sofia. Memang menjadi pantang baginya jika haknya dirampas. Apatah lagi dirampas teman baik yang sering dipandang enteng olehnya. Baginya ‘Aisy tidak layak untuk memiliki apa yang pernah menjadi miliknya.

“Sofia..Sofia…Sofia…Kau dah lupa apa yang kau dah buat pada Harris? Kecurangan kau sendiri yang menyebabkan Harris membuang kau, Sofia! Kau sanggup jual maruah diri kau hanya…”

“Diam, ‘Aisy!” Potong Sofia tidak sanggup membiarkan ‘Aisy meneruskan kata-kata sinisnya.

“Kenapa? Kau dah tak sanggup nak dengar kebenaran? Kebenaran yang kau sanggup menjual maruah diri kau hanya kerana mengejar cinta seorang lelaki yang lebih hebat, lebih kaya dan lebih tampan daripada Harris?” Sambung ‘Aisy melampiaskan perasaannya yang terpendam. Langsung dia tidak mengendahkan amaran Sofia.

“Aku kata diam, perempuan!” Jerit Sofia kuat. Rasa amarah yang membuak di dada menyebabkan Sofia melayangkan sebuah tamparan ke pipi ‘Aisy. Ringan tangannya menolak tubuh ‘Aisy.

“Ya ALLAH!” ‘Aisy hilang kawalan diri. Tubuhnya melayang jatuh menggelongsor tangga sehingga ke bawah. Hentakan kuat pada bahagian perut membuatkan ‘Aisy mengaduh kesakitan.

Sofia tergamam di atas tangga. Tubuh ‘Aisy yang terdampar kaku di hujung tangga mengundang getar di hatinya. Dia tidak sengaja tertolak ‘Aisy sehingga tubuh itu tergolek jatuh. Namun rasa takut itu tidak lama. Bibirnya menguntum senyum puas melihatkan tubuh ‘Aisy yang terbaring lemah. Sekurang-kurangnya tugasnya akan menjadi lebih mudah untuk menjayakan rancangan jahat yang telah diatur. Perlahan-lahan dia melangkah menuruni tangga.

‘Astaghfirullahalazim. Kenapa boleh jatuh ini, ‘Aisy?” Suara terperanjat Hafeeza menghentikan langkah Sofia. Dia mengetap bibirnya geram.

“Kenapa perempuan tu tiba-tiba balik pula malam ini?” Sofia merengus geram. Nampaknya dia tiada pilihan. Rancangannya gagal untuk dilaksanakan. Dendam yang terbuku masih seakan liat untuk dileraikan. Dengan bara dia melangkah kembali ke bilik tidurnya. Dia perlu keluar dari rumah itu dengan segera!

 

***  (Titian Cinta – Bab 24 | Preview Versi Novel)

 

Harris mendengus geram. Dari tadi dia diam, khusyuk mendengar satu persatu cerita yang disampaikan ‘Aisy. Hangat membara perasaannya dengan rasa marah yang tidak bertepi. Pandangan matanya jelas menunjukkan api kebencian. Terketar-ketar tangannya menahan geram yang meluap-luap di dada.

“Kurang ajar kau, Sofia. Kau memang nak kena!” Bisik Harris sepenuh perasaan. Dia menumbuk kuat meja kopi yang diperbuat daripada kayu jati itu. Menempiaskan rasa marah yang bersarang di dada.

“Abang..”

‘Aisy tersentak dengan tindakan Harris. Terangkat kedua-dua bahunya dengan bunyi hentakan itu. Segera dia menghampiri Harris. Tangan Harris yang sedikit merah kesan tumbukan digenggam lembut.

“Abang, janganlah macam ni.” Pujuk ‘Aisy lembut biarpun di dalam hati dia turut merasa gentar. Jari-jemari dinginnya mengusap lengan Harris.

“I’m sorry, sayang. It just that I couldn’t control my anger. Geram sungguh abang dengan perbuatan Sofia. Dia memang patut diajar.” Gumam Harris. Melihat kegugupan ‘Aisy, dia mengendurkan sedikit suaranya. Tanpa sedar marahnya telah menakutkan isterinya sendiri.

“Abang..” ‘Aisy menarik nafas dalam. Wajah bersih Harris yang sedikit merah direnungnya dalam sebelum menyambung kata.

“‘Aisy beritahu abang semua ini bukannya nak abang balas balik segala perbuatan Sofia. ‘Aisy cuma nak berkongsi cerita dengan abang.” Sambung ‘Aisy perlahan. Ada rasa bersalah yang mula bertunas di hatinya. Mungkin dia tidak sepatutnya menceritakan serangan Sofia kepada Harris.

“Tapi perempuan macam itu memang patut diajar. Lain kali tak adalah dia berani nak ganggu sayang lagi. Sayang jangan bimbang. Tahulah abang nak buat macam mana.” Dengus Harris tidak puas hati.

“Jangan buat yang bukan-bukan abang. Abang dah janji takkan menyimpan dendam kan? Tak baik. Tak baik diturutkan rasa marah tu.”

‘Aisy mengingatkan Harris. Kurang senang dengan kata-kata yang diungkapkan Harris. Dia tahu dengan kedudukan yang dimiliki Harris, suaminya mampu melakukan apa saja.

“Abang tahu dendam tu tak baik tapi abang tak sanggup nak biarkan Sofia buat macam-macam pada sayang. Sebelum apa-apa yang buruk berlaku, lebih baik abang yang bertindak dulu. Biar abang bagi dia pengajaran. Pengajaran yang dia akan ingat seumur hidup dia!” Bantah Harris keras. Memang dia berjanji untuk tidak membalas segala perbuatan Sofia tetapi dia tidak akan membiarkan keselamatan ‘Aisy terganggu. Apatah lagi setelah mengetahui ada seseorang di luar sana yang sedang menunggu peluang untuk mengganggu isterinya.

“Abang, dalam Islam tak pernah ajar kita untuk balas kejahatan dengan kejahatan kan? ALLAH kan ada bersama dengan kita. Kita doakan saja semoga dia berubah.” Tutur ‘Aisy lembut. Wajahnya dimaniskan dengan senyuman. Sengaja dia merapatkan badannya ke tubuh sasa Harris.

“Tapi sayang kena ingat, sekarang ni bukan Sofia saja yang ada niat jahat pada sayang. Lelaki yang berkomplot dengan Sofia tu, abang perlu siasat siapa.” Balas Harris sedikit tenang. Siapa lelaki misteri itu? Apa motif lelaki yang bersubahat dengan Sofia untuk memerangkap ‘Aisy? Ada sesuatu yang dia perlu rungkaikan

‘Aisy menganggukkan kepalanya. Kata-kata Harris itu memang ada benarnya. Jauh di sudut hati dia turut merasa gusar.

“Sayang dapat agak tak siapa lelaki itu?” Harris turut mempersoalkan perkara yang sama. Bagaikan dapat membaca apa yang terbuku di fikiran isterinya.

‘Aisy menggelengkan kepalanya. Sungguh dia buntu untuk menebak.
“Sebelum ini ada tak lelaki yang berdendam dengan sayang? Yang sayang pernah tolak cinta dia ke..” Soal Harris lagi dengan jelingan.

“Tak ada.” ‘Aisy mengerutkan dahinya. Dia bukanlah seorang wanita cantik yang memiliki deretan peminat lelaki yang menagih cintanya. Kawan lelakinya sendiri tidak ramai. Tetapi…

“Daniel.” Bisik ‘Aisy perlahan. Terpacul satu nama dari mulutnya secara tiba-tiba. Entah kenapa terlintas nama lelaki itu di benaknya.

“Siapa?”

“Err.. tak..tak ada sesiapa. ‘Aisy rasa lelaki tu mungkin orang suruhan yang diupah Sofia.” Balas ‘Aisy menyembunyikan rasa gundahnya. Kepalanya digeleng perlahan. Tidak mungkin Daniel. Dia pasti Daniel tidak sekejam itu.

“Tak payahlah fikir. ‘Aisy yakin Sofia sekarang dah mula takut dengan perbuatannya sendiri. Kita serahkan semuanya pada ALLAH. Lagipun, abang kan nak kawal baran abang itu. Anggaplah ini sebagai ujian pertama abang.” ‘Aisy bersuara sedikit ceria. Lengan Harris dipaut erat. Kepalanya direbahkan di atas bahu Harris.

Harris mencuit hidung ‘Aisy. Hatinya yang sedang hangat membara serta-merta sejuk dengan senyuman dan perlakuan manja ‘Aisy. Kemesraan yang jarang-jarang ditunjukkan oleh isterinya.

“Sayang duduk rapat-rapat dengan abang macam nak goda abang je. Sayang dah buat abang rasa lain macam ni.” Nada suara Harris berbaur nakal.

“Nak goda apanya. ‘Aisy letak kepala atas bahu abang je.” Ujar ‘Aisy selamba. Dia tahu Harris sekadar ingin mengusiknya.

“Tapi abang dah rasa lain macam ni. You’ve turned me on. Jom, sayang. Kita masuk bilik.”
Harris mengangkat kedua belah keningnya sehingga membuatkan ‘Aisy tersipu malu.

“Tak senonoh betullah abang ni.” Gumam ‘Aisy. Kata-kata Harris mula menyeramkannya. Pantas pegangan tangannya pada lengan Harris dilepaskan. Dia turut menjarakkan duduknya.
Aksi gelabah ‘Aisy mengundang tawa kecil Harris. Apa salahnya sekadar menguji perasaan isterinya sendiri.

“Kenapa tiba-tiba sayang duduk jauh pula ni? Takkan dengan suami sendiri pun takut.” Duga Harris.

“Mana ada takut.” Sela ‘Aisy menyembunyikan perasaannya.

“Kalau macam tu, marilah dekat dengan abang.”

Harris kembali merapatkan duduknya di sisi ‘Aisy. Tangan ‘Aisy diambil dan diselitkan semula di celah lengannya. Dia dapat rasakan suhu hangat di telapak tangan ‘Aisy berubah dingin. Memang sah takut!

“Sayang..” Panggil Harris perlahan.

“Hmm..”

“Abang gurau je tadi, sayang. The truth is abang akan tunggu sehingga sayang benar-benar sihat dan bersedia.” Bisik Harris perlahan menyentuh hati ‘Aisy.

“Terima kasih, abang.” Ucap ‘Aisy terharu. Dia tersenyum bahagia. Senang dengan kata-kata yang dibisikkan Harris.

“Sayang..” Panggil Harris sekali lagi.

“Hmm…” Balas ‘Aisy lembut

“Abang nak tanya sayang sesuatu, boleh tak?”

‘Aisy hanya mengangguk menanti bicara lanjut daripada Harris.

“Kalau abang nak bawa sayang ke bulan dan bintang. Sayang nak ikut tak?” Soal Harris romantis. Senyuman manis dihadiahkan pada ‘Aisy.

“Abang mampu ke? Setahu ‘Aisy, hanya seorang je rakyat Malaysia yang boleh buat macam tu.” Kata-kata ‘Aisy membuatkan senyuman di wajah Harris kendur.

“Siapa?”

“Dato’ Sheikh Muzaffar, angkasawan negara kita.” Jawab ‘Aisy menyembunyikan senyum.
“Sayang!” Harris menggelengkan kepalanya. Sedar yang dirinya sudah terkena.

 

Bersambung…

Sumber : Ridhya Iman

Baca : Titian Cinta – Bab 22 | Preview Versi Novel