Kisah Raja Parsi Dan Seorang Tua Yang Bijak

Aku meriwayatkan kepada kamu semua satu kisah untuk menutup ucapanku (khutbah Jumaat) dengannya ;

Ahli sejarah telah meriwayatkan bahawa sesungguhnya satu ketika, seorang raja dari Raja Parsi berjalan bersama tentera pengiringnya dan melalui seorang tua yang telah lewat umurnya sedang menanam sepohon pokok yang hanya akan tumbuh selepas seratus tahun.

Lalu raja itu memberhentikan tentera pengiringnya seraya berkata kepada lelaki tua tersebut :

“Sesungguhnya kelakuanmu sungguh pelik sekali. Aku melihat langkahan kakimu semakin menghampiri perkuburan, dekat dengan hari kematian. Kemudian, sekarang ini kamu menanam sepohon pokok yang tidak akan tumbuh melainkan setelah seratus tahun. Apakah tujuan perbuatanmu”.

Lelaki itu merupakan seorang yang bijak dan berpandangan jauh

Lalu dia berpaling dan menjawab persoalan raja tersebut :

“Semoga Allah memperbaiki keadaan raja! Sesungguhnya orang terdahulu telah menanam benih sehingga kita mampu merasa hasilnya hari ini, kini giliran kita untuk menanam benih supaya hasilnya boleh dinikmati oleh generasi selepas kita ”

Raja pun berkata : “Bagus! ”

Adalah menjadi kebiasaan kepada raja apabila dia mengucapkan kata-kata tersebut (ucapan bagus) kepada rakyatnya, dia akan mengurniakan seribu dirham kepada rakyatnya

Maka, tentera pengiring raja memberikan seribu dirham kepada lelaki tua tersebut.

Lelaki tersebut kemudiannya berpaling kepada raja tersebut seraya berkata ;

“Semoga Allah memperbaiki keadaan raja! Aku melihat kamu merasa pelik dengan pohonku dan mempersoalkan kelewatan buah yang akan dinikmati selepasnya dan sesungguhnya di saat ini juga ianya telah membuahkan seribu dirham ”

Lalu raja itu berkata kepadanya : “Bagus! ”

Kemudian, lelaki tersebut dikurniakan seribu dirham lagi.

Lelaki itu berkata lagi kepada raja tersebut ;

” Semoga Allah memuliakanmu! Kamu mempersoalkan kelewatan buah yang boleh dihasilkan oleh pohon yang aku tanam dan sesungguhnya dalam saat ini juga ianya telah berbuah dua kali ”

Raja tersebut berkata kepadanya: “Bagus! ”

Selepas itu, lelaki tersebut diberi seribu dirham lagi untuk kali yang ketiga. Kemudian raja berkata kepada tentera pengiringnya :

” Marilah kita berangkat meninggalkan lelaki ini! Sekiranya kita masih berada bersama lelaki ini nescaya segala yang berada dalam khazanah kita tidak akan cukup untuk dikurniakan kepadanya ”

Apa yang ingin aku (Syaikh Usamah) sampaikan kepada kamu semua adalah ;

Dimanakah falsafah hidup (pada diri kita semua untuk diamalkan dalam hidup seharian) :
‘ Orang terdahulu telah menanam benih sehingga kita mampu merasa hasilnya hari ini, kini giliran kita untuk menanam benih supaya hasilnya boleh dinikmati oleh generasi selepas kita ‘

PENGAJARAN :
Bersedialah untuk berkorban dengan segala apa yang ada pada diri kita untuk kebaikan generasi akan datang terutamanya kepada umat Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Sebagaimana orang terdahulu bersusah-payah untuk melihat kejayaan kita hari ini, kini tiba giliran kita untuk mencurahkan bakti berkhidmat untuk generasi akan datang.

{ Da’wah : LIKE IT, SHARE IT }

Sumber : Muhammad Faris Zulkharnane