Lelaki Ini Terjumpa Dompet Penuh Wang Di Masjid , Saat Berjumpa Pemilik Dompet Tersebut, Dia Menawarkan Untuk Menikahi Anaknya Yang Cantik.

Perkongsian dibawah dipetik dari posting seorang lelaki di group FB.

Ikuti perkongsiannya dibawah : Terjadi di Perak.. ambil ikhtibar.. setelah selesai solat Zohor di sebuah masjid di Kampung Manjoi… Disebabkan takut jem..

Aku bergegas ke kereta. Tetapi ketika diparking langkahku terhenti seketika… ada sebuah dompet besar betul-betul terjatuh di tepi kereta ku. Dengan hati-hati aku angkat dompet itu. Agak berat berisi.

Rasa serba salah, dengan terpaksa demi untuk mengetahui identiti pemiliknya, aku buka dompet itu dan menemukan sebuah envelop besar dari nama sebuah bank. Aku baca didalamnya juga ada nama dan alamat, serta sejumlah wang.

Duit note RM100 dalam 10 ikatan yang tebal. Aku panik. Antara keliru dan rasa amanah, aku kembali ke masjid. Wang ini harus aku cari pemiliknya. Tapi tanya semua jemaah, tak seorang pun yang kenal.

Aku tidak ada pilihan selain mencari pemiliknya….. Lantas aku bergegas memandu ke alamat yang ada dibungkusan wang itu. Ketika sampai, aku cuba beri salam dan mengetuk pintu pagar rumah.

Keluar seorang lelaki yang sudah berumur berperawakan tinggi, berkulit putih cerah kearab-araban yang menjawab salam dan bertanya

mahu mencari siapa..?”

Aku bagi tau dia

“Saya hendak berjumpa dengan Tuan Haji Salim, betulkah rumah ni..?”.

“Saya Hj Salim.. ada apa encik..?”

“Pak Haji tadi solat di masjid di Ittihadiah..” tanya ku.

“Ya.. Betul..”

“Pak Haji tadi ada bawa apa-apa tak, waktu pegi solat..?”

Dia menjawab “Astaghfirullah.. iya .. saya bawa dompet besar coklat dan dari tadi saya mencari-carinya.. Saya lupa dimana letaknya..”

Pandangannya ke arah saya penuh dengan tanda tanya.

Aku pergi ke kenderaan dan mengeluarkan dompet besar yang aku jumpa tadi.

“Dompet yang ini ke Tuan Haji..?”

“Ya..ya.. yang itu.. Alhamdulillah.. terima kasih nak.. Dalam tas ini bapak simpan wang yang bapak baru ambik dari Bank tadi..”

Tanpa banyak bicara, aku serahkan dompet itu dan minta diri untuk pulang. Tapi aku ditahan pak Haji Salim

“Tunggu nak, ada yang ingin saya hadiahkan padamu sebagai tanda terima kasih saya..”

Hj Salim yang berwajah arab ini, lalu memanggil nama seorang wanita. Tidak lama kemudian muncul seorang wanita berhijab…. mata bertentang mata… cair hati tak terkata… degup jantung kencang tak terkira….

“Nak ini anak saya. Dia belum menikah. Dia janji akan menikah dengan laki-laki yang baik dan jujur seperti kamu..”

Aku terkejut bewak.. Dengan tergagap aku berkata, “Maaf Tuan Hj, saya sudah beristeri. Saya kena bincang dengan isteri saya.. dan mintak izin dengan dia tentang rancangan Tuan Haji ni..”

Hj Salim tersenyum, dia kata “Bertenang nak, nanti biar saya yang minta izin dari isterimu. Ada no hp nya..?”. Aku mengangguk lesu.. malu tapi mau…mana tak maunya….. Anak dia punya la cun…. lalu aku pun bagi la no hp wife aku. Tuan Haji Salim terus dial nombor tu….dan dia bagitau cerita sebenar……

Tubuh aku tiba-tiba mengigil…… apalagi saat telefon tu diberikan kepada aku…. katanya isteri ku mahu bercakap dengan aku, terlintas di fikiranku…… apalah aku nak jawab nanti… Bagaikan halilintar membelah bumi…. Di saat terdengar suara isteri ku bercakap dengan agak kuat…

“Bang…. bang…. Abangggg bangun..!! Asar dah nak abis ni…”.

Hari hari cerita politik pun boring jugak kan….. 😂😂😂😂😂😂😂😂😜😜😜.

Jangan lupa like komen dan share ya. Hahaha.. Jangan Marah, Nanti Kena Jual.

Sumber : Khalifah Dunia

HUKUM MENGAMBIL WANG YANG DIJUMPAI DI TEPI JALAN

Assalamualaikum Ustaz saya nak tanya apakah hukum kita ambil duit yg tercicir ditepi jalan. Adakah dibenarkan untuk kita ambil dan pakai kalau nilainya kecil seperti RM10?

Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

TAKRIF AL-LUQATAH

Sebelum kami bahas dengan lebih lanjut, harta yang tercicir ini disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah. Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarak di dalam kitabnya: Daripada Ibnu Qudamah Al-Hanbali Al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4856).

Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “Al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. (Fiqh Al-Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 7/69).

PEMBAHAGIAN HARTA AL-LUQATAH

Syeikh Mustafa Bugha mengklasifikasikan harta Al-Luqatah kepada dua bahagian:

Harta Al-luqatah (haiwan) iaitu menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu. Untuk makluman yang lebih terpeinci boleh rujuk artikel AL-KAFI #627: HUKUM MEMELIHARA LEMBU YANG TIDAK DIKETAHUI PEMILIKNYA

Harta Al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak. Berkenaan dengan harta Al-Luqatah selain haiwan, Nabi S.A.W pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:

عن زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ،صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani,merupakan sahabat Rasullullah S.A.W telah berkata, Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.

(Hadis riwayat Muslim: 1722)

HUKUM DAN SITUASI PENGAMBILAN HARTA AL-LUQATAH

Berkenaan dengan hukum mengambil harta Al-Luqatah fuqaha berbeza pendapat berkenaan dengannya. Mazhab Syafie dan mazhab Hanafi membolehkan kita mengambilnya ini kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya. Manakala mazhab Maliki dan mazhab Hanbali melarangnya (Rujuk: Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4857).

Berkenaan dengan hal ini Syeikh Mustafa Bugha menggariskan beberapa pembahagian:

Sunat mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.

Harus mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.

Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya ini kerana menjaga harta orang islam itu adalah wajib.
Makruh mengambilnya sekira ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.

Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.
(Fiqh Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 7/71)

HEBAHAN UNTUK SERAHAN HARTA AL-LUQATAH

Hebahan harta Al-luqatah yang mempunyai nilai yang besar mengikut jumhur para fuqaha adalah wajib. Ini berdasarkan hadis nabi S.A.W daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun”. Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya:

المناداة عليها، أو الإعلان عنها حيث وجدها، وفي المجتمعات العامة كالأسواق وأبواب المساجد، والمقاهي

Maksudnya: Mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan. (Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4863).Sekiranya harta tersebut tidak dituntut sebaiknya diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal.

Berkenaan dengan barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan tidak harus mengumumkannya seperti sabda nabi S.A.W daripada Jabir bin Abdullah:

قَالَ رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ

Maksudnya: Rasullullah S.A.W memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya

(Sunan Abi Daud: 1212)

Begitu juga dengan harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali R.A berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya. Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya. (Rujuk: Nil Al-Autar Bab Al-Luqatah: 363).

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan yang diajukan kepada kami dapat disimpulkan:

Mestilah berazam untuk menjaga dan memulangkan semula wang yang dijumpai tersebut sekiranya dituntut.
Membuat hebahan kepada orang ramai di kawasan yang dijumpai selama mana anggaran bahawa pemiliknya tidak akan mencarinya lagi. Kemungkinan selama 3 hari atau kurang mengikut anggaran nilai barang tersebut.
Sekiranya di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut maka ia dibenarkan untuk menggunakannya dan sanggup untuk membayarnya kembali sekiranya ia dituntut.
Sebaiknya duit yang dijumpai dihebahkan melalui media sosial seperti facebook dan whatsapp. Setelah itu sekiranya masih belum dijumpai pemiliknya dalam tempoh yang tertentu duit itu boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim. Namun sekiranya nilai yang besar dan berharga diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan yang berautoriti bagi menguruskan harta itu.

Wallahualam

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan