Titian Cinta – Bab 6 | Preview Versi Novel

KREDIT SEPENUHNYA KEPADA PENULIS ASAL NOVEL–> Ridhya Iman
KALAU KORANG NAK TEMPAH NOVEL TITIAN CINTA, BOLEH TERUS PM BELIAU–> Ridhya Iman

“Apa semuanya tadi, Harris?” Serang ‘Aisy tatkala hanya mereka berdua saja yang berada di anjung rumah. Suasana malam yang dingin langsung tidak dapat menyejukkan hatinya yang panas dengan lakonan dan pembohongan Harris sewaktu di meja makan. Bertambah bengkak hatinya apabila Harris hanya membiarkan sepi pertanyaannya. Lelaki itu santai berpeluk tubuh sambil melemparkan senyuman segaris.

“Apa maksud sayang ni? Abang tak faham.” Akhirnya Harris membalas pertanyaan ‘Aisy dengan soalan.

“Tak perlu berlagak naif depan saya, Harris. Kenapa awak sanggup tipu mak dan ayah saya? Apa yang awak nak buktikan sebenarnya?” Dengus ‘Aisy. Keras intonasi suaranya bertubi-tubi melontarkan pertanyaan.

“Bila masa abang tipu mak dan ayah?” Harris mengangkatkan kedua belah keningnya. Makin sakit hati ‘Aisy melihat ketenangan yang ditunjukkan Harris.

“Habis tu masa makan malam tadi tu apa? Datang menjenguk saya ke London tiap-tiap bulan kononnya. Awak sengaja kan nak tunjuk baik depan mak dan ayah saya. Kononnya awaklah suami mithali yang begitu baik hati mengizinkan saya ke London. Itu tak termasuk lagi lakonan hebat awak masa kat airport tadi.” Bentak ‘Aisy menghitung satu persatu lakonan Harris yang menjengkelkannya. Segala ketidakpuasan hati yang disimpan dihambur keluar.

“Habis tu, sayang nak mak dan ayah tahu yang sayang tak pernah pun minta izin abang untuk ke London? Sayang nak mak dan ayah tahu yang sayang ke sana sebab membawa rajuk di hati? Begitu?”

Harris membalas kata-kata ‘Aisy. Senyuman nipis masih tersungging di bibirnya. Perlahan-lahan dia menghampiri tubuh ‘Aisy yang berdiri kaku di depannya.

“Itu kebenarannya bukan? Kenapa? Awak takut mak dan ayah tahu apa yang awak dah buat pada saya? Bimbang pekung di dada awak itu akan terbuka?” Sinis pertanyaan ‘Aisy menggambarkan api kemarahan yang sudah tidak mampu dibendung.

Senyuman di wajah Harris padam. Ketenangan yang cuba dipamerkan sedikit terusik. Dia menyabung pandang dengan anak mata ‘Aisy.

“Abang tak pernah takut dengan kebenaran. Abang bukan jenis manusia yang pandai lempar batu tapi sembunyi tangan.” Gumam Harris dalam kesabaran yang tersisa. Dia terdiam seketika sebelum senyumannya bertukar sinis.

“Tapi yang menghairankan abang, kenapa sayang sendiri yang tak berterus terang dengan mak dan ayah? Kenapa perlu mengelak setiap kali mak bertanya tentang kita? Sampai sekarang, banyak perkara tentang kita yang sayang sembunyikan dari pengetahuan mak dan ayah kan?”

‘Aisy terkedu dengan soalan Harris yang bertalu-talu menyerangnya. Sedar yang dirinya sudah mula kehilangan kata. Terperangkap dalam situasi yang dimulakannya sendiri. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Sungguh dia tidak tergamak hendak mencalarkan maruah suaminya sendiri dengan menjaja kisah mereka kepada orang luar. Biarpun luka yang ditinggalkan Harris cukup dalam. Tiada guna dihebohkan masalah antara dia dan Harris hanya sekadar untuk berkongsi rasa. Simpati dan ratapan pilu tidak akan mengurangkan derita dan sengsara yang sarat ditanggung hatinya.

“Kenapa diam?” Gesa Harris masih menanti jawapan.

“Tak perlu nak putar belitkan keadaan. Persoalan yang kita bincang sekarang ni adalah tentang awak. Bukan saya!” Tekan ‘Aisy sedikit gelisah. Akalnya kematian idea untuk membalas.

Harris ketawa tipis. “Jangan mengelak, sayang. Kenapa tak nak jawab soalan abang? Atau sayang nak abang tolong jawabkan.”

Tubuh ‘Aisy makin didekati. Lembut pandangannya memanah ke dalam anak mata ‘Aisy. Melihat ‘Aisy yang sedang dihambat keresahan membuatkan Harris semakin yakin dengan perasaan isterinya.

‘Aisy makin tidak keruan. Ada getar yang bertunas di hatinya tatkala tubuh Harris hanya berada seinci saja daripadanya. Sehingga dia dapat merasakan kehangatan tubuh itu.

“Sia-sia saya bercakap dengan orang macam awak ni.” Tingkah ‘Aisy mahu menamatkan perbualan. Tidak betah untuk dia terus berlama. Bimbang dia yang akan kalah. Semakin tidak yakin dengan hatinya sendiri.

‘Aisy mula mengayun langkah apabila lengannya dipaut Harris tiba-tiba. Dia tersembam ke dada bidang lelaki itu. Bagaikan seperti ada aliran elektrik yang sedang mengalir saat lingkaran tangan Harris membawa tubuhnya erat ke dalam dakapan.

“Sebenarnya sayang takut mak dan ayah membenci abang kalau mereka tahu perkara sebenar kan? Abang tahu sayang buat semua tu sebab sayang masih cintakan abang. Dalam hati sayang, masih ada rindu buat abang. Sayang cuma takut nak mengakui perasaan sayang pada abang. Sayang bimbang takut terluka lagi kan?” Bisik Harris romantis di cuping telinga ‘Aisy.

‘Aisy terkaku dalam pelukan Harris. Belaian lembut tangan Harris di belakang tubuhnya membuai perasaan. Matanya dipejamkan rapat menghayati keindahan sentuhan itu. Mindanya bagaikan dihipnosis. Lalu, tanpa sedar dia turut membalas pelukan itu. Benarkah segala tebakan Harris? Masih cintakah dia pada Harris? Masih berbaki kah rindunya buat lelaki itu?

“Sayang…berilah abang peluang untuk membetulkan kesilapan. Izinkanlah abang untuk rawat luka di hati sayang. Kita bina hidup baru, ya sayang?” Rayu Harris. Dia meleraikan pelukan. Redup renungannya menembusi sepasang anak mata ‘Aisy membuatkan wanita itu terpaku.

“Sungguh abang perlukan sayang. Hidup abang tak sempurna tanpa cinta sayang, kerana sayang adalah bidadari terindah dalam hidup abang.” Ungkap Harris sepenuh perasaan.

Elusan lembut tangan Harris di pipinya membuai perasaan. ‘Aisy turut mengusap tangan Harris yang sedang bermain di pipinya. Dia tenggelam dalam larutan mimpi yang indah.

Namun bayangan mimpi indah berkecai tatkala matanya tertancap pada kesan parut lama di pergelangan tangan. Serta-merta rasa marah, benci dan dendam bertamu menguasai diri. Marah dengan dirinya sendiri kerana serapuh itu hatinya hampir tertewas dengan godaan Harris. Dia benci dengan kenangan silam yang teramat sukar untuk dipadamkan dari kotak ingatan. Dan kerana Harrislah dia menjadi pendendam. Dengan kasar tangan Harris ditepis kuat.

“Jangan terlalu mudah membuat kesimpulan, Harris. Perasaan saya pada awak dah lama mati. Diam saya bukan bererti cinta. Sepi saya bukan bermaksud rindu.” Keras suara ‘Aisy. Dadanya berombak deras, jelas menggambarkan rasa marah, benci dan dendam yang bercampur menjadi satu.

“Saya mungkin perempuan yang hina dan jijik di mata awak, tapi saya taklah begitu keji untuk mengadu domba kisah rumah tangga saya pada orang lain, walaupun orang itu adalah mak dan ayah saya sendiri. Saya bukan takut tapi saya perlu jaga aib rumah tangga saya. Penakut yang sebenarnya adalah awak, Harris. Awak pengecut. Takut nak mengakui kesilapan sendiri. Hipokrit!” Tuduh ‘Aisy pedas. Tanpa sedar dia telah melaharkan kata-kata yang cukup tajam. Cukup untuk mencabar kesabaran Harris.

“Baik.”  Riak wajah lelaki itu berubah tegang.

“Kalau macam tu, sekarang juga abang akan berterus terang pada mak dan ayah. Abang tak pernah berniat nak sembunyikan kesilapan abang. Abang tahu abang salah dan abang berhak dihukum. Andai kebencian mak dan ayah boleh buat sayang maafkan abang, abang rela.” Putus Harris sambil menarik tangan ‘Aisy membuatkan wanita itu terdorong ke depan.

“Awak nak buat apa ini? Nak bawak saya ke mana?” ‘Aisy cuba merentap pegangan Harris namun gagal. Sungguh dia terkejut dengan tindakan drastik Harris. Dalam terpaksa dia menuruti langkah Harris.

“Jumpa mak dan ayah. Kita berterus terang malam ini juga!” Ajak Harris serius.

‘Aisy terkedu. Dia mengetap bibir menyedari keterlanjurannya mencabar keegoan Harris. Semuanya didorong rasa marah dan dendam yang tidak pernah hilang. Namun dia langsung tidak menyangka Harris akan sebegitu nekad. Dalam hati dia mengutuk kebodohannya sendiri yang sering gagal mengawal emosi ketika bersama dengan Harris.

“Besok sajalah, Harris. Dah lewat malam ini. Mesti mak dan ayah dah tidur.” ‘Aisy memberi alasan. Suaranya mula mengendur.

No! Kita selesaikan malam ni juga.” Putus Harris masih bertegas. Biarlah malam itu menjadi penentu segala-galanya. Dia sudah tidak peduli apa yang akan terjadi.

Harris mengetuk pintu bilik tidur Haji Hilmi dan Hajah Maryam.

Sekali-sekala ‘Aisy mencuri pandang pada raut wajah Harris yang tegang. Tanpa sedar dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia resah dan gelisah.

“Ada apa Harris, ‘Aisy?” Hajah Maryam menyoal sebaik pintu bilik dibuka. Dipandangnya wajah menantu dan anak perempuannya silih berganti.

“Saya minta maaf ganggu mak tengah-tengah malam ini.” Sopan Harris memulakan bicara.

“Tak apa. Mak pun belum tidur lagi. Kenapa, Harris?” Hajah Maryam tersenyum kecil walaupun hatinya sedikit pelik melihatkan reaksi anak dan menantunya itu.

“Saya nak ..”

“Sebenarnya, mak. ’Aisy nak minta tolong mak masakkan gulai ayam kampung besok. Dah lama ‘Aisy tak makan. Rasa teringin sangat, mak.” Potong ‘Aisy cepat-cepat. Mujurlah otaknya pantas mencipta alasan. Pandangan tajam Harris tidak diendahkan. Hatinya tidak tega membiarkan Harris membuka rahsia rumah tangga mereka berdua. Andai satu rahsia yang terbongkar, pasti akan turut merungkaikan rantaian rahsia lain. Dia tidak mahu keadaan yang sudah keruh menjadi lebih rumit.

“Mak ingatkan apalah tadi. Sampaikan tak sempat nak tunggu besok. Kamu mengidam ke ‘Aisy?” Senyum simpul yang terukir di bibir Hajah Maryam membuatkan wajah ‘Aisy sedikit berubah merah.

“Tak..tak adalah, mak. ‘Aisy teringin sebab dah lama tak makan. Kat sana mana nak dapat ayam kampung ni. Kalau dapat cicah dengan sambal belacan pauh lagi sedap kan, mak.” ‘Aisy tertawa kecil di hujung katanya. Sememangnya dia bukanlah seorang pelakon yang baik. Namun, saat itu dia benar-benar berharap Hajah Maryam tidak perasan dengan helahnya.

“Yalah, nanti mak masakkan. Pagi besok mak suruh ayah kamu sembelih ayam. Kamu pula Harris, nak mak masakkan apa untuk besok?” Pertanyaan Hajah Maryam membuatkan Harris terpaksa melemparkan sengih.

“Saya tak kisah. Sebenarnya saya nak…”

“Sebenarnya mak, abang Harris ni malu nak beritahu mak. Dia nak minta mak buatkan jala emas. Selera besar betul abang Harris ini kan.” ‘Aisy menyampuk kata-kata Harris.

Hajah Maryam tergelak kecil. Macam-macam hal mereka berdua ini.

“Yalah, besok mak buatkan. Dah lewat ini, kenapa tak masuk tidur lagi?” Hajah Maryam mengerling jam di dinding. Jarum jam sudah menghampiri tengah malam. Pelik juga dia dengan telatah anak menantunya itu. Tengah-tengah malam sibuk buat permintaan fasal makanan.

“Kami masuk tidur dulu ye mak. Selamat malam. Assalamualaikum.” Ucap ‘Aisy tergesa-gesa. Dipimpinnya tangan Harris menuju ke bilik beradu mereka apabila menyedari lelaki itu masih teragak-agak.

“Dah, lepaskan tangan saya.” Tegur ‘Aisy sebaik mereka berdua berada di dalam bilik.

“Aik, siapa yang pegang siapa tadi?”

Riak pelik Harris membuatkan ‘Aisy tersipu saat menyedari jari-jemarinya yang sedang memaut kemas tangan Harris. Pantas tautan itu direnggangkan. Sengaja dia tidak mengendahkan pandangan tajam Harris. Sebaliknya, kakinya diatur ke bilik air. Belum sempat tombol pintu biliknya dipulas, Harris terlebih dulu menghalang.

“Kenapa tak benarkan abang berterus terang tadi?” Soal Harris tidak berpuas hati. Wajahnya tegang. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang diinginkan ‘Aisy. Kadang-kadang dia merasakan ‘Aisy seperti sengaja ingin menduga kesabarannya. Sengaja isterinya itu menuturkan kata-kata untuk membangkitkan kemarahannya. Sengaja hendak mencari pasal dengannya.

“Dahlah, Harris. Saya penat sangat. Saya nak tidur.” Ujar ‘Aisy ingin mengelak.

No. Sayang jawab dulu soalan abang. Kenapa sayang tak benarkan abang berterus terang dengan mak tadi? Sedangkan sayang juga yang beria-ia mencabar abang kan?” Desak Harris mengulangi pertanyaannya.

‘Aisy menghela nafas panjang. Dia mendengus kasar.

“Untuk apa, Harris? Semuanya dah berlaku. Buat masa sekarang, sama ada mak dan ayah tahu ataupun tak, keadaan tetap takkan berubah. Masalah antara kita, lebih baik kekal antara kita berdua sahaja. Kita selesaikan dengan cara baik. Bila semuanya dah selesai, saya pasti mak dan ayah akan mengerti.” Bela ‘Aisy mempertahankan tindakannya sebentar tadi.

“Apa maksud sayang?”

“Awak tahu apa yang saya mahukan dari awak kan? Lebih baik kita berpisah dengan cara baik, Harris.” Balas ‘Aisy membuatkan Harris mengeluh berat.

“Kenapa setiap kali kita bercakap, akhirnya isu perpisahan juga yang sayang bangkitkan. Perkara yang paling abang tak suka dengar juga yang sayang suarakan. Sayang sengaja nak hukum abang kan? Sengaja nak buat abang marah dan benci pada sayang kan? Kenapa nak sukarkan lagi keadaan?” Keras nada suara Harris. Dadanya berombak menahan kesabaran yang dirasakan semakin menipis.

“Sebab saya tak boleh lupa apa yang awak dah buat pada saya. Setiap kali bersama awak, hati saya ni sakit. Sakit sangat. Awak mengingatkan saya pada saat saya kehilangan satu-satunya harta yang saya ada. Anugerah yang awak tak pernah hargai kehadirannya!”

Mata ‘Aisy mula digenangi mutiara jernih. Akhirnya dia tewas lagi dengan air matanya sendiri. Pantas langkahnya dihayun ke bilik air. Tidak mahu Harris menyaksikan ketewasannya.

‘Aisy terjelepok di atas lantai bilik air. Segala kesedihan dihamburkan. Pancuran air dibuka untuk mengelakkan tangisannya mengejutkan tidur ahli keluarga yang lain. Panggilan Harris yang sayup tenggelam timbul tidak meninggalkan kesan di hatinya. Hatinya sudah beku. Ingatannya menerawang ke malam itu. Malam yang telah meragut segala harapannya. Malam yang menyaksikan dia telah kehilangan harga diri sebagai seorang wanita, isteri dan ibu!

Bersambung..

Sumber : Ridhya Iman

Baca : Titian Cinta – Bab 5| Preview Versi Novel